Friday, March 30, 2012

Kisah atuk...

8 tahun yang lalu ketika along dan angah masih berada di PUSPETA pada usia 6 dan 3 tahun saya sering  menerima e-mail yg menceritakan perihal kisah keluarga Ustaz Datuk Hassan Din Al-Hafiz dan Ustaz Harun Din Al-Hafiz.... Sehinggakan saya menghafal  kisah itu dan ia menjadi sumber inspirasi saya dalam menentukan halatuju dalam mendidik anak-anak saya... Sementelah lagi kisah yang dirakamkan itu berlaku di sekitar berdekatan kampung di mana saya dibesarkan oleh arwah datuk dan nenek saya.. maka sudah pasti saya dapat menghayati apa  yang cuba digambarkan oleh apa yang cuba disampaikan oleh si penulis...

Sudah sekian lama saya berhajat untuk berkongsi kisah ini bersama pembaca blog ini juga buat rujukan saya di masa hadapan namun bimbang sekiranya kisah ini tidak datang daripada sumber yang benar....

Kesempatan angah menjalani rakaman Adik & Al-Quran Musim ke 3 memberikan peluang kepada saya untuk mengesahkan kisah ini dengan Datuk Abu Hassan sendiri yang dikenali sebagai 'atuk' oleh anak-anak yang menjalani rakaman ini..bagi menjadi tauladan kepada ibu-bapa hari ini...

Inilah kisahnya...(diadaptasi daripada apa yang saya hafal daripada e-mail yg saya terima dahulu)

Keluarga Datuk Hassan Din tinggal di Kg. Behor Mali, Perlis... Adik beradiknya yang berjumlah 10 orang (3 lelaki dan 7 perempuan) hampir kesemuanya merupakan  ustaz dan ustazah (hanya 2 sahaja yang bekerja selain daripada ustazah).. Semasa kecilnya bapa Ustaz Datuk Hassan serta Ustaz Harun Din ini menentang keras anak-anaknya belajar di sekolah Inggeris... Kesemuanya bersekolah di Madrasah Islahiyah (jika tak silap saya) yang terletak di Behor Mali itu  sendiri...

Yang menarik yang ingin saya kongsikan di sini ialah kebersamaan dan kesatuan hati ibu dan bapa kedua-dua tokoh ulama' ini yang mempunyai pendirian yang sama dan teguh dalam melakukan sesuatu yang dianggap bertentangan dari apa yang biasa dilakukan oleh ibu-bapa pada zaman tersebut yang bangga jika anak-anak mereka bersekolah di sekolah-sekolah Inggeris dan mampu bercakap Inggeris dengan fasih...

Hasilnya ketika arwah bapa kedua-dua ulama' ini meninggal dunia setelah sekian lama sakit ... anak-anak yang semuanya berpengetahuan dalam bidang ugama ini tidak membenarkan sesiapa pun menyentuh jasad arwah bapa mereka... kerana mereka sendiri yang ingin menguruskan segala urusan  pengkebumian arwah bapa kesayangan mereka sebagai jasa bakti yang terakhir..

Dalam e-mail yang saya terima dahulu menyatakan bahawa arwah ibu kedua-dua tokoh ulama' ini bila melihatkan kesukaran anak-anaknya yang terpaksa berulang-alik dari Kuala-Lumpur ke Perlis untuk menjaga/menziarahi arwah bapanya yang sakit berdoa agar Allah SWT tidak memberikannya sakit yang panjang yang akan menyukarkan anak-anaknya jika telah sampai ajalnya. Hal ini tidak dapat disahkan oleh yang saya hormati Ustaz Dato' Abu  Hassan kerana menurut beliau ketika itu beliau sedang berada di Mesir kerana menyambung pelajarannya...

Namun apa yang pasti, arwah ibu kedua-dua tokoh ulama' ini menemui Allah SWT dalam keadaan yang sungguh tenang dalam keadaan apa yang dikatakan sebagai Husnul khatimah (pengakhiran yang baik) dimana arwah ibu beliau meninggal  dalam keadaan sujud ketika solat terawikh di bulan Ramadhan pada malam Jumaat... Subhanallah... Kerana itulah saya sangat terkesan dengan kisah ini dan sekali lagi hanya anak-anak yang soleh dan solehah yang telah disekolahkan di  sekolah ugama inilah yang menguruskan jenazahnya..

Betapa bila  saya mengikuti program Profesional Mukmin-Ibu Bapa Cemerlang yang menyentuh tentang bilamana kita sebagai ibu/bapa mengeluarkan segala belanja (hari ini sekolah-sekolah ugama serta Maahad-maahad memerlukan belanja yang besar) , masa dan tenaga untuk anak-anak ini mahir dalam bidang ugama JANGANLAH MENGHARAP APA-APA BALASAN melainkan daripada Allah  SWT...

Betapa kita harus merasa bangga bilamana di akhir zaman yang penuh dengan segala bentuk fitnah ini kita masih diberi peluang untuk bersama-sama dengan salah seorang tokoh ulama' yang diberikan kelebihan bertemu dengan Rasululullah SAW di dalam mimpi beliau... dan ianya tak lain dan tak bukan Ustaz Harun Din sendiri... Bayangkan segala manfaat yang telah dicurahkan dengan membantu manusia-manusia lain yang diuji Allah SWT dengan pelbagai bentuk penyakit berkat ketegasan seorang bapa dan ibu betapa hingga hari ini sudah pasti arwah ibu bapa anak-anak soleh dan solehah ini akan beroleh pelbagai kebaikan di alam sana...

Thursday, March 8, 2012

Perkongsian : Jiwa Seorang Pendidik - Jangan Terhenti Setakat Usia Pencen

 Saya hari ini ingin berkongsi artikel yang ditulis oleh Ustaz Hasrizal dalam blognya yang bertajuk "Baginda Menyatuni Murid Yang Hilang Motivasi Diri".... Sesungguhnya sebaik-baik tauladan ialah Rasulullah SAW.. Peringatan ini ini saya tujukan buat diri saya terutamanya, para pembaca blog ini serta para pendidik di luar sana agar kita semua bersifat ehsan pada anak-anak yang kita didik sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW... Antara lain yang saya perhatikan ialah betapa kurangnya guru-guru pakar (bidang akademik) yang sanggup turun padang mendidik anak-anak di Maahad-maahad tahfiz yang sudah pastinya kekurangan dana kerana tiada bantuan daripada mana-mana pihak melainkan bantuan peribadi... Maka dengan ini adalah sukar untuk pihak sekolah membayar harga yang  diletakkan oleh guru-guru pakar ini..

Betapa saya melihat kerugian yang besar bilamana anak-anak tahfiz yang berkebolehan ini terpinggir dari diberi kesempatan untuk mengungguli bidang sains tulin sepertimana yang berlaku pada ilmuan-ilmuan Islam kita suatu masa dahulu...

Alangkah seronoknya jika saya merupakan guru pakar dalam bidang matematik dsb di mana antara yang dijanjikan dalam hadis Rasulullah SAW bilamana meninggalnya anak Adam maka terputusnya semua amalan melainkan 3 dan salah satunya ialah ilmu yang bermanfaat.....

Subhanallah jika semua guru-guru pakar yang telah bersara dapat memikirkan hal ini alangkah beruntungnya mereka kerana dapat menabur bakti buat anak-anak yang bakal jadi pelapis perjuangan Rasulullah SAW ini ... Apa yang kita lihat hari ini, ramai dari golongan bersara ini hanya menganggap bahawa dengan beribadah di dalam masjid dan mengikuti kelas-kelas pengajian itu sahaja amalan soleh yang dapat dilakukan... Kita lupa sebenarnya jika kita telusuri Sirah Rasulullah SAW kita akan dapati para sahabat yang bergerak ke serata pelusuk dunia menyebarkan ugama Islam adalah dari kalangan yang berusia sebaya  dengan apa yg  kita panggil hari ini sebagai usia emas.. Mereka berjuang menyebarkan ilmu hingga ke akhir hayat.. tetapi masyarakat kita terhenti setakat umur pencen... Kita lupa bahawa kita sebenarnya memerlukan pencen kubur lebih daripada pencen dunia...

Semoga kita berfikiran terbuka dalam hal ini dan mengubah fenomena ini serta diberi peluang oleh Allah SWT  untuk menadah ilmu yang bermanfaat dan menyampaikan ilmu tersebut ... terus menyumbang bakti demi bakti hingga ke akhir usia...



Baginda Menyatuni Murid Yang Hilang Motivasi Diri


“Hoi!” jerkah Cikgu Mamat.
Syafiq tersentak.
“Apa yang kamu termenung melangut tengok ke luar tu? Kamu nak balik tidur ya?” Cikgu Mamat mengherdik dari depan.
Pen marker dibaling tepat mengena dahi Syafiq!
Murid-murid lain ketawa.
Lucu melihat Syafiq yang mukanya kemerah-merahan menahan malu. Biar pun ini bukan kali pertama beliau disergah sebegitu, masalah pergaduhan antara ibu dan ayahnya di rumah amat merungsingkan diri. Syafiq sering termenung. Dan sekali lagi, menungannya mengundang malu.
“Kalau kamu tidak berminat hendak belajar, ambil beg kamu ini dan balik ke rumah. Peluk bantal busuk. Jangan serabutkan kelas ini!” sindir Cikgu Mamat.

Cikgu Mamat amat tersinggung dengan sikap Syafiq. Perbuatannya melabuhkan pandangan ke luar tingkap amat  mencabar dirinya. Puas segala persiapan dilakukan untuk mengemaskan proses mengajar, anak muridnya yang satu itu tidak memberi perhatian. Lebih berminat dengan pemandangan luar bilik darjah. Rama-rama terbang? Kucing bergaduh? Siput babi? Entah apa yang si Syafiq perhati.
Kekecewaan Cikgu Mamat itu memang berasas.
Bukan sedikit masa yang diperuntukkannya untuk menyiapkan bahan mengajar.
Sekurang-kurangnya berilah perhatian. Masakan ia permintaan yang terlalu sulit untuk ditunaikan.
Namun kekecewaan Cikgu Mamat itu mungkin boleh dirawat bukan pada mengubah Syafiq, tetapi mengubah apa yang paling boleh diubah, yakni diri Cikgu Mamat sendiri. Syafiq perlu dibantu mengubah dirinya, namun Cikgu Mamat perlu membantu Cikgu Mamat mengubah Cikgu Mamat.
Bagaimana?
SECEBIS KISAH LIPATAN SIRAH
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam juga seorang pendidik.
Baginda gemar memperkenalkan dirinya sebagai seorang pendidik.
Baginda bukan hanya berperanan mengajar, tetapi baginda juga mendidik. Pendidikan baginda, sebahagian daripada uswah teladan yang baik buat Cikgu Mamat dan kita semua.
عن مالك بن الحويرث قال أتينا رسول الله صلى الله عليه وسلم ونحن شببة متقاربون فأقمنا عنده عشرين ليلة وكان رسول الله صلى الله عليه وسلم رحيما رقيقا فظن أنا قد اشتقنا أهلنا فسألنا عن من تركنا من أهلنا فأخبرناه فقال ارجعوا إلى أهليكم فأقيموا فيهم وعلموهم ومروهم فإذا حضرت الصلاة فليؤذن لكم أحدكم ثم ليؤمكم أكبركم
Daripada Malik bin al-Huwairith radhiyallahu ‘anhu bahawa beliau berkata: Kami telah datang kepada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam (untuk belajar secara intensif daripada Baginda). Kami ketika itu adalah anak-anak muda yang hampir sebaya dan kami tinggal bersama Baginda selama 20 malam. Kami dapati Baginda adalah seorang yang amat penyayang lagi santun. Suatu ketika, Baginda telah merasakan bahawa kami dilanda rasa rindu kepada ahli keluarga. Lalu Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bertanya kepada kami tentang keluarga yang telah kami tinggalkan di rumah. Maka kami pun menceritakannya kepada Baginda. 
Lalu Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda: “Pulanglah kalian kepada keluarga semua, tinggallah bersama mereka, ajari mereka, anjurkan mereka untuk berbuat kebajikan dan melaksanakan solat sebagaimana kalian melihatku mengerjakan solat. Apabila telah tiba waktu solat, hendaklah salah seorang daripada kalian melaungkan azan dan hendaklah yang paling besar (tua) daripada kalian bertindak sebagai imam” [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Baginda seorang yang peka.
Peka dengan kemerosotan motivasi anak muridnya.
Peka yang disambut bukan dengan andaian sendiri tetapi menyantuni si anak murid dengan bertanya sendiri kepada mereka. Menyediakan ruang yang kondusif untuk murid-murid itu memberitahu. Mereka bukan hilang minat kepada kelas ‘Ustaz Muhammad’, tetapi mereka sebagai manusia biasa, rindu kepada keluarga.
Baginda bukan sahaja peka. Baginda juga berminat untuk tahu. Bertanyakan hal ahli keluarga di rumah, dan mendengar dengan setia apa yang diceritakan oleh anak-anak muridnya. Baginda bukan guru sepenuh masa. Baginda adalah ketua kampung, ketua tentera, hakim, ketua polis, suami kepada beberapa orang isteri, dan ada banyak kelas lain yang dikendalikannya. Baginda seorang yang amat sibuk. Tetapi sibuk bukan alasan untuk tidak mengambil tahu perihal anak-anak murid baginda.
Masalah peribadi.
Masalah ibu bapa.
Apa sahaja.
Bukan sahaja mendengar, jauh sekali mengejek, menyindir atau memperlekeh ‘lemah semangat’ si anak muda, baginda bertindak realistik pada memenuhi keperluan anak muda itu. Mereka disuruh pulang. Tetapi bukan pulang sebagai manusia yang sama seperti sebelum datang. Sebaliknya pulang dengan misi mendidik, mengajar, menyampai, namun dalam suasana yang terbaik untuk mereka berperanan, di rumah mereka sendiri.
SELINGAN NASIHAT DALE CARNEGIE
Demikianlah Dale Carnegie mengulas di dalam bukunya How to Win Friends and Infuence People.
Ketika semua orang hakikatnya berminat hanya dengan diri masing-masing, bagaimana mungkin kita menjadi manusia yang boleh memenangi hati orang dan mempengaruhi mereka apabila kita memaksa mereka berminat dengan kita? Apa yang menjadikan kita outstanding ialah apabila kita berkongsi minat yang sama dengan mereka, iaitu berminat dengan diri mereka!
Sekali lagi, MENYANTUNI MANUSIA DENGAN WALYATALATTHOF, menuntut tadabbur kita selaku pendidik, pendakwah, ibu bapa, majikan dan pemimpin.

Saturday, February 11, 2012

Bukti Cinta Buat Nabi...Kita Juga Mampu Menjadi Seperti Ummu Sulaim......

Antara guru yang sangat saya hormati adalah Ustazah Norhafizah Musa.... Salah satu slot yang  sangat saya nantikan saban minggu setiap hari Jumaat adalah slot USRATI dalam radio IKIM pada pukul 10 - 11 pagi..

Seringkali airmata saya menitis bila mendengar bait-bait kata2 guru yang saya hormati ini... Kata-katanya tulus ikhlas dari hati .....Subhanallah...Terfikirkah kalian pembaca ada kalanya seseorang itu langsung tidak punya pertalian  darah dengan kita namun bila beliau menjiwai apa yang disunnahkan oleh Rasulullah SAW dalam berakhlak kita merasa dekat  dengannya... Adakalanya mereka yang punya hubungan kekeluargaan dengan kita tetapi berakhlak dengan akhlak yang tidak menyenangkan hati maka secara  automatik hati  kita merasa jauh daripada mereka... Itulah  yang berlaku bilamana saya mula  menjadi  anak  murid kepada Ustazah Norhafizah..

Perkara utama yang dihighlightkan oleh Ustazah Nor Hafizah dalam ceramahnya ialah "BUKTI CINTA BUAT RASULULLAH (SAW)......."  tetapi saya ingin membawa diri saya terutamanya serta sahabat2 Muslimat  saya di luar sana (yg  membaca blog ini) untuk  sama-sama menghayati dan sekaligus bersemangat waja seperti Ummu Sulaim...kerana itu  saya meletakkan tajuk entry saya seperti di atas...

kerana saya  yakin kita juga mengimpikan syurga dan mampu menjadi  seperti Ummu Sulaim...yang  menjadi penghuni syurga berkat cinta dan kasihnya pada Rasulullah SAW dengan hanya bermodalkan seorang anak sahaja.....

Syukur pada Allah SWT kerana saban bulan direzekikan menjadi anak  murid kepada guru yg mempunyai seraut wajah yang tenang ini secara fizikal...Maka sempena Maulidur Rasul, inilah antara isi kupasan usrah yang ingin  saya kongsikan buat sahabat-sahabat di luar sana yang bergelar isteri dan ibu......

Ramai dari kita tidak sedar bahawa "Selawat" itu adalah ubat terbaik bagi kaum wanita...." 

untuk menghilangkan keserabutan fikiran dan sebagainya. Kerana itu wahai kaum  wanita lazimilah lidah kita dengan berselawat kepada Rasulullah  SAW... Hinggakan pada satu ketika  saya pernah dinasihatkan oleh guru  yg  saya hormati Ustaz Syed Abi untuk sentiasa membasahkan lidah  dengan  selawat Ibrahimiah (selawat seperti selepas tashahud akhir)..  dan ia merupakan nasihat yg masih segar dan amat memberikesan  dalam hidup saya hingga kini... Semoga Allah SWT  senantiasa merahmati beliau  dan  keluarga..

Antara sifat Rasulullah SAW yang kita semua ketahui  ialah "Sangat menyayangi kita umatnya hingga seluruh kehidupan Baginda dikorbankan untuk  kita..."

Yang menjadi  kesangsian kita ialah "Apakah CINTA yang  Rasulullah SAW berikan  buat kita itu kita balas dgn sebaiknya??" 

Firman Allah SWT yang bermaksud: 
"Kamu fikir kamu  menipu Allah  dan  RasulNya,tetapi sebenarnya kamu  menipu diri kamu sendiri!.." 

Jika kita ditanya "Sayang tak pada Rasulullah SAW".. Sudah pasti jawapannya ialah "Sayang".....
Jika kita  ditanya "Cinta tak pada Rasulullah SAW"...  Sudah pasti jawapannya ialah "Cinta".....
...yang kamu/kita tipu adalah  diri kamu/kita sendiri... yang kamu/kita zalimi adalah diri kamu/kita sendiri...

Sehinggakan ahli-ahli  sufi menukilkan doa yang begitu menusuk kalbu... 

"Wahai Allah... ampunkanlah dosa kami...
Wahai Allah...ampuni janji-janji yang kami mungkiri...
Wahai Allah...ampunkanlah amanah-amanah yang kami  khianati...
Wahai Allah...ampunkanlah kami atas nikmat2 yang tidak kami syukuri... Wahai Allah... ampunkanlah kami atas ujian-ujian yang kami tidak sabar dalam  menanggungnya Wahai Allah ... ampunkanlah kami atas segala pertuturan dan tindakan kami yang tidak menjadikan Allah   SWT sebagai tujuan..." 

   Dan sedarkah kita bahawa kita sebenarnya menipu diri kita pada  pengakuan CINTA kita kepada Rasulullah SAW sekiranya kita tidak membuktikan cinta dan kasih kita pada Baginda... Apa yang menariknya.. kita pasti tertanya-tanya bagaimanakah kita mahu  membuktikan Cinta Kasih kita pada Rasulullah SAW... pada kuliah ini Ustazah Norhafizah menggariskan 4 bukti yang boleh  kita usahakan .... 

BUKTI PERTAMA... 

Ada keinginan yang sangat kuat untuk  bertemu dan bersama dengan Rasulullah SAW...Mungkin mustahil untuk kita bertemu  Baginda di alam ini tetapi kita boleh bercita-cita untuk  bermimpi berjumpa dengan  Rasulullah SAW...Walaupun kita seorang WANITA... Mimpi bertemu Rasulullah SAW ini adalah  rezeki... iaitu dengan cara istiqamah berdoa kepada  Allah SWT agar sebelum berjumpa di  akhirat (mudah-mudahan di syurga) kita harapnya dapat bertemu dengan Baginda di  dalam mimpi....

Ustazah Norhafizah menceritakan pengalaman beliau ketika belajar di Jordan.. Di sana kata beliau terdapat kumpulan lelaki-lelaki yang baik dan teguh berpegang pada ugama yang digelar MUTADAYININ dan kumpulan perempuan-perempuan yang baik dan berpegang teguh pada ugama yang digelar MUTADAYINAT... Mereka mempunyai akhlak yang sangat cantik persis apa yang disarankan oleh Rasulullah SAW (lemah-lembut dalam percakapan, menjaga pandangan, mempunyai kesabaran yang tinggi,  sangat menghormati sesama Muslim dsb).... Sudahlah rupa mereka yang juga sangat cantik kerana negara Jordan, Palestin dan Syria yang dikenali  sebagai dataran Syam penduduknya merupakan keturunan daripada Nabi Yusof a.s yang memang terkenal dengan kecantikan rupa parasnya....

Bila melihat kumpulan ini beliau termenung memikirkan alangkah cantiknya akhlak dan peribadi mereka ini bagaimanalah rupanya akhlak Rasulullah SAW serta para ummul Mukminin..... Subhanallah... Saya juga turut termenung bila mendengarkan kata-kata Ustazah Norhafizah....  Bila saya melihat dalam diri saya dan orang dikeliling  saya... Jauhnya kita dari akhlak Rasulullah SAW... Layakkah kita bertemu dengan Baginda dan mengharapkan syafaat Baginda???

Ramai dari kita alpa bahawa "Hebatnya Kamu adalah Di atas Kesempurnaan Akhlak".... dan akhlak yang paling sempurna untuk  dicontohi tidak  lain  dan tidak  bukan ialah Rasulullah SAW...

Antara kata-kata menarik daripada Ustazah Norhafizah ialah... Bilamana kita membaca selawat, pernahkah kita merasa hadirnya rasa kasih dan cinta pada Rasulullah SAW dan keluarga Baginda?..Menurut beliau dahulu pun beliau bila membaca selawat Allahumma salli a'la Muhammad ..  Terbit juga rasa kasih pada Rasulullah SAW tetapi pada part wa a'la ali Muhammad...hatinya kurang merasa kasih dan cinta pada kaum keluarga Rasulullah SAW..

Hinggalah beliau (Ustazah Norhafizah) banyak membaca tentang sirah ummul mukminin, antaranya Saidatina Aisyah yang hanya berkesempatan bersama Rasulullah SAW hingga umurnya 18 tahun sahaja (akibat  kewafatan Nabi)... Saidatina Aisyah ini akhirnya hidup bersendirian selama 48 tahun apabila wafat pada umur 66 tahun...
Sepanjang kehidupan beliau selepas kewafatan Nabi beliau menyaksikan satu persatu kematian  Siti Fatimah,  Umar Al-Khattab, bapa kesayangan beliau Abu Bakar As-Siddik dan para sahabat yang lain.. Pertumpahan darah ketika peperangan untuk  menyebarkan Islam dan pelbagai lagi... Apakah kita sebagai kaum wanita tidak langsung dapat menyelami penderitaan dan kesunyian yang dialami oleh Saidatina Aisyah???Betapa teguhnya pendirian beliau dan bagaimana kita dapat melihat hebatnya didikan Rasulullah SAW kepada ahli keluarga Baginda iaitu didikan dalam "Mengikat hati-hati mereka kepada Allah SWT".... Subhanallah.. Saya seakan-akan terbangun dari mimpi bila mendengar kata-kata ini... Betapa saya juga dan mungkin anak-anak saya juga begitu...  Perlu bermuhasabah dalam mengenali ahli keluarga Rasulullah SAW dan mencintai mereka juga dalam mendidik  diri dan anak-anak dalam mengikat hati-hati ini dengan  Allah SWT sekejap-kejapnya... Agar dalam apa jua dugaan kita tidak mudah melatah atas keyakinan yang tinggi bahawa  Allah SWT sentiasa menjaga kita.... Inilah penghayatan yang patut kita terapkan dalam mencintaiRasulullah SAW dan ahli keluarga Baginda..  

     


BUKTI KEDUA...

Sanggup mengorbankan hidup, jiwa dan raganya untuk Rasulullah SAW...
Di sinilah saya ingin membawa para pembaca untuk menghayati kisah ibu Anas bin Malik iaitu Ummu Sulaim yang  saya jadikan sebagai tajuk entry saya kali ini ...

Ketika Rasulullah SAW dalam perjalanan menuju Madinah... Di Madinah,  kaum Ansar yang tidak sabar-sabar untuk bertemu dengan Rasulullah SAW dan  menanti-nanti ketibaan Baginda memanjat pokok, bumbung mahupun tembok-tembok dalam keadaan cuaca yang panas terik kerana ingin sepasang mata mereka  menjadi mata-mata yang pertama melihat susuk tubuh Nabi...Walaupun ketika itu masih  lambat lagi masanya untuk Rasul tiba ... tidak berhenti-henti mereka memanjat untuk meninjau ketibaan Rasulullah SAW... Apabila unta yang  membawa susuk tubuh Rasulullah SAW mula kelihatan maka melompat-lompatlah mereka kerana kesukaan...

Masing-masing ingin memberikan apa sahaja yang mereka punyai sebagai tanda cinta mereka kepada Rasulullah SAW.. Abdul Rahman bin Auf memberikan hartanya sebagai tanda cinta, yang punya rumah berebut2 menjemput Rasulullah SAW ke  rumah mereka, yang tidak punya makanan juga berebut2 menjemput Rasulullah SAW agar sudi makan di  rumah mereka....

Bila  tiba kepada giliran  Ummu Sulaim...seorang ibu yang kematian suami,  beliau merasa  sangat  sedih kerana tidak punya apa-apa untuk  diberikan kepada Rasulullah SAW kecuali seorang anak lelaki yang berusia dalam lingkungan 10 tahun ..Maka dipujuk anaknya itu  untuk  bertemu dengan Rasulullah SAW..

"Wahai Rasulullah dunia ini akan lenyap,dan aku mencari-cari apa yang  dapat aku berikan kepada mu ya Rasulullah.... Aku  tidak punya  harta, duit mahupun tenaga untuk aku sumbangkan demi perjuangan Islam tetapi aku punya seorang anak  ya Rasulullah.. Ambillah anak  ini sebagai hadiah agar dia dapat menjadi  khadammu atau pembantumu dalam perjuangan menegakkan Islam...."

Maka Rasulullah SAW pun menerimanya... Namun naluri seorang ibu yang bakal berpisah dengan anaknya tidak  merasa tenang  selagi  Rasulullah SAW mendoakan anak yang merupakan buah hatinya itu...

Inilah doa Rasulullah SAW yang mana Ustazah Norhafizah  mencadangkan agar kita menukarkan perkataan "Bertuah anak" kepada doa ini...bila kita dalam keadaan marah kepada anak...
" Wahai Allah,  panjangkan umur anak ini,
Banyakkan harta dan keturunannya,
dan  ampunkan dosa anak ini buat selama-lamanya..."

Maka semenjak itu tinggallah Anas r.a bersama Rasulullah SAW dan hasil didikan Baginda, beliau merupakan antara  sahabat yang meriwayatkan banyak hadis...

Berkata Rasulullah  SAW..." Ketika aku masuk ke syurga (peristiwa Isra'  Mikraj) aku terdengar bunyi tapak kaki yang sangat lembut sedang berjalan di dalam syurga..."...  Maka bertanyalah Rasulullah SAW kepada Jibril siapakah gerangan yang memiliki bunyi tapak kaki yang  aku dengar itu.... Jawab Jibril.. Itulah bunyi tapak kaki Rumaisaq iaitu nama sebenar kepada ibu Anas bin Malik....Maha Suci  Allah...

Saya ingin mengajak para pembaca sekelian untuk  sama-sama berfikir (terutama mereka yang bergelar ibu)... Apakah bukti cinta kita buat Rasulullah SAW dalam mendidik anak2 kita mencintai  Al-Quran dan  Sunnah Baginda?...Mungkin hari ini Rasulullah  SAW sudah  tidak ada bersama-sama kita untuk kita berikan anak2 kita bagi  menyokong perjuangan Baginda.. Namun kita masih punya banyak cara dalam menginfakkan seluruh  kehidupan kita dan anak-anak kita untuk meneruskan perjuangan menegakkan ugama Islam agar kita juga dapat sama-sama menjadi Ummu Sulaim abad ini.. Insya-ALLAH... 

Saya merasa sangat  terkesan dengan kisah Ummu Sulaim  ini yang  sangat  sinonim dengan kehidupan kita sebagai seorang  ibu... Di abad ini kita  sekadar  perlu mengajar anak2 dengan ajaran Rasulullah SAW...

Nabi SAW  bersabda, 

"Wahai ibu-bapa didik anak-anak kamu kepada 3  perkara:-
a) Mencintai aku (Rasulullah  SAW)
b) Mencintai ahli keluarga Baginda
c) Membaca Al-Quran (Jika kita menonton Tanyalah Ustaz pagi tadi -Dr.Danial Zainal  Abidin,  menyatakan Al-Quran itu bukan hanya dibaca tetapi difahami, dikaji dan diamalkan..) 

 Tanggungjawab ini akan ditanya di akhirat kelak... Sangat terkesan dengan peringatan ini... Jika kita muhasabah kembali diri kita telah tertunaikah  semua tanggungjawab di atas... Banyak lagi...Banyak lagi...sebenarnya..(keluh hati kecil saya....)  ..  Nabi  tak suruh sekolah yang ajar anak-anak mencintai Rasulullah  SAW tetapi kitalah sebagai ibu-bapa yang perlu mendidik mereka... Maka Ustazah Nor Hafizah mengajak diri  beliau dan kita semua untuk memulakan agenda bertindak bahawasanya selagi  kita hidup walaupun anak sudah berumur 30 atau 40 tahun sekalipun kita masih belum terlambat dan berpeluang untuk  mengajak mereka menghayati Sirah...dalam perkumpulan keluarga (selain daripada aktiviti berjalan2, berkelah @ makan2..)

Bagi kita yang masih punya anak-anak yang masih bersama kita marilah kita mengajak mereka membaca Sirah dengan membaca buku-buku berkenaan Rasulullah SAW, keluarga Baginda dan para Sahabat...seperti buku 'Syamail Muhammad' ...Biarlah lidah ibu yang membacakan buat anak-anak...Antara yang disarankan ketika sebelum tidur kita suami, isteri dan anak2 duduk dalam Halaqah dan membaca buku2 ini buat anak2... Kita tidak amanah dengan Allah  dan Rasulullah SAW jika tidak memulakannya dari sekarang...


Antara cara pendidikan anak2 menurut cara Rasulullah SAW ialah  dengan mendidik anak menghafal hadis yang bermaksud "Peliharalah Allah, nescaya Allah akan pelihara kamu."... (Hafal dalam B.Malaysia juga boleh jika tak  dapat hafal dalam B.Arab)... Hari ini kucar-kacirnya masyarakat sebab kita tak jaga perintah Allah SWT..Maka kita jauh dari pemeliharaan  Allah SWT... Perlunya kita sentiasa tanamkan pada anak2 jika nak minta tolong... Minta hanya pada Allah (SWT)..


Pada anak2 kecil atau yg dah besar pun Ustazah Nor Hafizah menyarankan untuk diajar menghafal ayat 111 Surah Al-Isra' bersekali dengan maksudnya...iaitu:
"Dan katakanlah,'Segala puji bagi Allah  yang tidak  mempunyai anak dan tidak (pula) mempunyai sekutu dalam kerajaan-Nya dan Dia tidak memerlukan penolong dari kehinaan dan agungkanlah Dia seagung-agungnya.." Bagi memasakkan akidah dalam diri anak-anak..


    BUKTI KETIGA...

    Mengikut segala perintah  Rasulullah SAW (Al-Quran  dan Sunnah)...

   BUKTI KEEMPAT....


   Meneruskan perjuangan dan membela ajaran Baginda Rasulullah SAW... Ustazah  Nor Hafizah membangkitkan  isu kepala khinzir yang diletakkan pada surau dan  masjid... Mana sensitiviti kita hingga ke hari ini masih tiada penyelesaiannya... kerana tiada seorang pun yang mahu beriktikaf di masjid2 dan surau2 (cuma tunggu bulan Ramadhan shj).. tiada siapa mahu berqiamullail di masjid2 dan surau2 kerana itu musuh Islam dengan  sewenang-wenangnya melakukan perkara tersebut..  Mana pembela ugama Allah??

Ajaran Rasulullah SAW bagaimana nak berakhlak /beradab dalam rumah tangga dah hilang..Begitu juga bagaimana menjaga aib/rahsia rumahtangga... tidak  diamalkan...

Kisah org-orang Ansar dan Rasulullah SAW membuktikan bahawa mencintai Rasulullah SAW adalah  penawar terbaik bagi segala kesusahan, penderitaan, kesakitan, kemiskinan...Bilamana ketika berakhirnya peperangan Hunain Rasulullah SAW membahagikan kesemua harta rampasan perang kepada orang-orang Muhajirin Quraisy sahaja sedangkan orang Ansar hanya memerhatikan sahaja... Masing-masing berharap akan diberikan bahagian mereka oleh Rasulullah SAW.. Tiba-tiba Rasululullah SAW mengarahkan semua orang bersurai dan mereka tidak  diberikan apa-apa bahagian pun... Maka ada yang pulang dengan  rasa tidak puas hati..  "Bila bab harta rampasan semua diberikan pada orang Quraisy, orang Ansar tak dapat... Bila bab  nak  berperang panggil orang Ansar, orang Quraisy tak  bersungguh pun malah merekalah yang beredar dulu!!" ,sungut orang-orang Ansar... dan sungutan ini sampai ke telinga Rasulullah  SAW...

Maka Rasulullah SAW pun memanggil orang-orang Ansar ini dan  bersabda..

" Bukankah dulu kamu hina dan bilamana aku datang membawa Islam kamu menjadi mulia! Dahulu kamu bermusuh antara satu sama lain, bilamana aku datang membawa Islam aku damaikan kamu semua! Dahulu kamu miskin dan dengan Islam kamu menjadi kaya..! Aku berikan harta-harta tersebut kepada golongan Quraisy kerana hati mereka belum kuat dan  teguh dengan Islam kerana itu mereka harus  dibelai.. Sedangkan hati kamu aku tahu telah kukuh , mana yang kamu pilih harta atau aku pulang bersama-sama kamu ke Madinah?" Maka menyesal dan  menangislah orang-orang Ansar ini kerana ketamakan mereka kepada harta sedangkan dengan  adanya Rasulullah  SAW  bersama-sama  mereka itulah harta yang paling  bernilai...

Ini adalah pengajaran besar  buat kita hari ini bagi  merawat hati, kedukaan dan segala bentuk  ujian..Tak akan ada yang dinamakan penyakit kemurungan,  stress dan  sebagainya kalau dalam hidup kita ada Allah SWT dan  Rasulullah  SAW..

Panjang saya menulis kerana tazkirah  ini berlangsung selama 2 jam.. Ingin juga  saya kongsikan apa yang saya dengar  dalam radio  IKIM tentang  sebuah kajian yang dijalankan pada silibus pendidikan ugama di sekolah-sekolah menengah yang mendapati sepanjang 5 tahun pelajar-pelajar Islam yang berada pada tingkatan 1-5, hadis yang perlu dipelajari (kekadang mungkin perlu dihafal)  untuk  tujuan peperiksaan  hanya berjumlah 5 buah hadis... Terkejut juga saya kerana saya juga pernah melalui zaman itu.. Maka di manakah  silapnya jika anak-anak hari ini langsung tidak mengenal dan menjiwai peribadi Rasulullah SAW sudahlah di rumah juga jauh dari dididik untuk mencintai Rasulullah  SAW dan keluarga Baginda... Antara yang dikomen dalam isu ini kenapa tidak  boleh hadis 40 yang terkenal  itu tidak diajar pada anak-anak ini  sepanjang 5 tahun berada di sekolah menengah..  Alangkah ruginya masa yang berlalu itu... "Jika Rasulullah SAW masih bersama kita sudah pasti Baginda akan sedih melihat keadaan ini...."

Friday, February 3, 2012

PROFESIONAL MUKMIN: Program Ibu Bapa Cemerlang...Part 4

 Kata-kata menarik pada banner yang ada di kawasan tempat kursus..

"ORANG YANG PERKASA MAMPU MENGAWAL HATI, AKAL DAN NAFSUNYA BAGI MENCAPAI VISI DAN MISI HIDUP YANG TEPAT DAN JELAS"
 
Guru yang saya hormati Ustaz Pahrol Juoi ketika kursus berjalan..

Tugas ibu-bapa adalah tugas PROFESSIONAL.... Percayakah anda?? Atau anda hanya berpendapat bahawa tugas sebagai seorang Doktor, ahli farmasi, jurutera, akauntan, peguam dan lain-lain sahaja yang tergolong sebagai tugas professional??

Kerana tidak menyedari hal inilah maka ibu-bapa hari ini tidak mengambil berat soal2 menambah-baik diri melalui kursus-kursus keibu-bapaan yang banyak dianjurkan, memperkasakan diri dengan ilmu agama (fardhu ain dan fardhu kifayah) sebelum atau ketika menjadi ibu-bapa dan lebih teruk lagi ialah menswastakan tugas mendidik anak-anak mereka kepada pengasuh/bibik mahupun taska-taska tanpa sebarang pemantauan peribadi...sebaliknya sibuk mengejar karier, bersosial dengan rakan-rakan ataupun mengumpul harta-kekayaan..

Apakah yang dimaksudkan oleh ibu bapa yang MUKMIN PROFESIONAL? Mukmin bererti ibubapa yang sabar,  lemah-lembut, penyayang dan sederhana dalam segala hal. Manakala Professional pula adalah dalam hal berkomunikasi , mengenal pasti masalah, pendengar yang baik serta tahu memberikan prioriti pada perkara2 tertentu  mengikut keadaan... Untuk mendapatkan semua ilmu ini para ibu-bapa harus belajar dan terus belajar sebagaimana di jabatan2 tempat kita bekerja yang sudah pasti ada "Continual Improvement" saban tahun dgn berkursus, seminar dan sebagainya bagi meningkatkan keberkesanan, kecekapan dan etika(adab) ketika bekerja... Begitu jugalah tugasan sebagai ibu-bapa.. Jgn jadikan cara orang2 tua kita sebagai panduan walaupun mungkin sesetengahnya baik untuk diikuti tetapi biarlah dengan ilmu...

Kalau dulu ketika kecil, saya dibesarkan oleh arwah datuk dan nenek seringkali dimomokkan dengan kata-kata  " Jangan lambung kain dalam rumah, nanti ular masuk..", "Jangan menyanyi di dapur nanti kahwin dgn org tua", "Jangan duduk di atas bantal nanti tumbuh bisul", dan segala bentuk jangan lagi.. yang jika difikirkan hari ini mungkin tiada logiknya.. Semuanya tidak lain hanyalah untuk mendidik adab .. Hari ini melalui pendidikan ilmu.. anak2 yang diberikan ilmu hadis dan Al-Quran mampu berfikir tentang dalil dan nas dari Al-Quran apatah lagi tentang adab dan akhlak

Sebagai ibu-bapa kita juga WAJIB sama-sama memantapkan diri dengan ilmu hadis dan sirah Nabawiyah yang menceritakan tentang akhlak Rasululullah SAW dan para sahabat/sahabiah kerana sebagai umat Baginda itulah contoh tauladan yang patut dicontohi bukan lagi kerana takut akan ular, bisul dan sebagainya...

Mari kita lihat akan peri pentingnya ilmu keibu-bapaan berlandaskan Al-Quran dan Hadis ini...

Contoh pertama : Seorang Jurutera sebelum menjadi jurutera perlu belajar lebih kurang 5-6 tahun atau lebih dari itu sebelum boleh diiktiraf sebagai seorang jurutera yang berkualiti dan dipercayai maka setelah  diberikan amanah untuk merekacipta mesin-mesin tertentu maka akan terhasillah mesin2 tersebut.. Selang beberapa waktu didapati salah satu batch(kelompok) mengalami sedikit kesilapan ketika proses penghasilannya (cthnya kereta) maka dengan segera kelompok kereta yang bermasalah itu dipanggil - balik untuk dibetulkan semula...

Bandingkan dengan contoh kedua..

Contoh kedua: Sepasang ibu-bapa yang langsung tidak mempersiapkan diri dengan segala ilmu (ugama, keibu-bapaan, komunikasi dsb)... yang kemudiannya melahirkan anak2 mungkin 2, 3 atau 6 atau lebih.. dan anak2 itu terus membesar TANPA pendidikan ilmu yang sepatutnya (ilmu fardhu ain berlandaskan Al-Quran dan Sunnah ) diikuti oleh ilmu fardu kifayah (ilmu akademik) - Kesilapan kebanyakan kita hari ini ialah mementingkan ilmu akademik  (ilmu fardhu kifayah) semata-mata dan menidakkan ilmu yang wajib.. Maka bila tiba2 dipertengahan jalan kita mendapati ada dikalangan anak  kita yang terpesong dari landasan yang sepatutnya -seperti apa yang berlaku pada remaja kita hari ini baik  di dalam mahupun luar negeri yang walaupun dari segi akal mereka bijak namun hakikatnya mereka jahil dalam ilmu yang sepatutnya diterapkan kepada mereka..... Ketika itu bolehkah kita para ibubapa MEMANGGIL BALIK ANAK ITU UNTUK KITA KECILKAN MEREKA KEPADA UMUR DI USIA REBUNG UNTUK KITA LENTURKAN SEMULA...???? Ketika itu walaupun kita menangis air mata darah pun kita takkan mampu mengembalikan dan memperbaiki anak2 kita....

Ramai daripada kita menyangka "usia remaja" itu adalah masih pada "usia rebung" tetapi sebenarnya usia remaja itu telah mencapai "usia buluh"...

Maka hasil dua contoh ini apakah yang penting pada peringkat awal tumbesaran anak2? Pendidikan atau karier? Ianya bukan bertujuan menidakkan sumbangan kaum wanita dalam bidang profesional namun janganlah sampai membiarkan anak2 hanyut dalam dunia mereka sendiri kerana Ibu adalah Madrasah pertama bagi anak2...

Antara yang disentuh dalam seminar  ini ialah berkahwin kerana Allah SWT bukan kerana kecantikan isteri, cinta dan sebagainya... Mungkin sebahagian dari kita dahulu tidak tahu hakikat ini dan berkahwin bukan kerana Allah SWT namun masih belum terlambat untuk niat itu kita perbetulkan dan bersama2 memperbaiki diri agar cinta yang disemai bukan hanya di dunia tetapi hingga ke syurga....

T/Jawab Bapa Sebagai Pemimpin Rumahtangga

Zahirnya: Menyediakan kelengkapan infrastruktur dlm r/tangga
Batinnya: Mentarbiah rohani, mendidik serta memimpin isteri dan anak2 dgn ilmu..

Suami perlu tambah ilmu dan berakhlak dgn akhlak yang baik (mencontohi Rasulullah SAW) agar dpt dilihat secara realiti.
Buang sifat ego dan sentiasa memaafkan...
Perkahwinan itu  biasanya dimulakan dgn CINTA tetapi disempurnakan oleh TANGGUNGJAWAB..

Sesuatu yang mungkin agak sensitif tetapi perlu dijadikan sebagai peringatan buat kita baik suami/isteri adalah tentang salah satu wasiat Rasulullah SAW yang terakhir... agar para suami berpesan kepada para isteri mereka supaya tidak membawa masuk lelaki  asing ke dalam rumah.. Maka di zaman akhir zaman ini kita mungkin tidak sedar bahawa wasiat ini telah diabaikan oleh kebanyakan kita bilamana para isteri membawa masuk lelaki asing melalui Facebook @ yahoo messenger dsb dgn cara berchatting dgn rakan2 lelaki tanpa pengetahuan suami... Inilah antara fitnah akhir zaman....yg tidak kita sedari..

MENCINTAI & MENGASIHI ISTERI DENGAN SEPENUH HATI ADALAH HADIAH TERBAIK SEORANG AYAH BUAT ANAK2 NYA....

T/Jawab Ibu Sebagai Pengurus R/Tangga

- Laksana perintah suami selagi tidak bercanggah dgn syariat....
- Ibu itu lebih dekat dgn anak2 kerana itu mereka adalah madrasah/sekolah pertama anak2...
- Urus kewangan, kebersihan dan keperluan r/tangga dengan effisyen...
- Bersatu hati dengan suami dlm mendidik  anak2..
- Memahamkan anak2 tentang keputusan suami yg adakalanya bertentangan dgn kehendak anak2..

SALAM MAULIDUR RASUL SAW....
Saya sebenarnya baru pulang dari majlis usrah Ustaz Don sempena Maulid Nabi SAW yg diadakan di rumah Ustaz Roslan Muhammad..
Antara yg disebutkan ialah kita biasanya belajar sunnah Nabi bukan utk mengamalkannya tetapi utk melupakannya..... tetapi kita belajar tentang makruhnya sesuatu hukum utk diamalkan bukan utk ditinggalkan.... cth paling dekat ialah bersugi setiap kali berwuduk yg  sering dianggap kecil... tetapi dalam hal merokok yg ada yang menghukumkan makruh tetapi saya berpegang pada hukum yg HARAM... Masing2 masih mahu menegakkan benang yg basah... Apakah itu CINTA pada Rasulullah SAW namanya???

Soalan terakhir daripada Ustaz Don, cuba perhatikan disekitar dalam rumah kita,  adakah gambar Masjid Nabi atau ayat2 Al-Quran atau tulisan khat nama Nabi Muhammad SAW atau buku sirah atau serban dsb yang bilamana kita terpandangkannya airmata kita akan berguguran kerana mengingati kasih Baginda pada kita dan sekaligus menjentik hati kita utk terus berselawat pada Baginda??? Jika tidak ada maka renung2kanlah.. Di manakah Rasulullah SAW dalam cita-cita kita....?

Thursday, January 12, 2012

Anak Yang Bagaimanakah Yang Kita Dambakan???

       Saya sangat terkesan dengan apa yg saya terima melalui FB.. cerita yg dikongsikan oleh penulis blog MengajipastiBoleh ini tentang adik Siti Fatimah Mukhtar (yang merupakan senior kepada adik Nik Nur Madihah) bekas pelajar2 Maahad Muhammadi Kelantan disaat-saat kita digemparkan oleh cerita bekas seorang pelajar Malaysia yg tidak berakhlak menurut landasan Islam... Terus sahaja saya kongsikan dengan anak2 saya terutama Along.. Bimbang dengan fitnah akhir zaman yang semakin hebat ini... Sebagai  ibu saya berdoa moga2 anak2 saya dan semua anak2 Muslim yg lain dikurniakan Allah SWT jati  diri Islam yang sebenar-benarnya agar tidak mampu digugat oleh apa sahaja dugaan luar...pada bila2 masa...

Dan kemudiannya, sahabat maya saya (penulis blog Cinta Allah dan Rasul) Ustazah Aisyah Hashimee  berkongsi blog yang sangat menyayatkan hati... Berlinangan air mata saya memikirkan mampukah saya menjadi anak solehah yang mampu berkhidmat hingga ke akhirnya kepada bapa dan ibu-ibu saya? Saya juga berkongsi video ini dengan anak2 saya yang dikasihi sebagai satu tazkirah... Masing-masing terdiam dan bila saya tanyakan mahukah mereka memberikan khidmat terakhir yang terbaik buat saya dan suami kelak.. Mereka menganggukkan kepala dengan wajah yang suram... Semoga Allah memberikan kita kesudahan yang terbaik Insya-ALLAH.....


Dan antara kedua anak  cemerlang yg digambarkan ini (Siti Fatimah dan bekas pelajar yg digembar-gemburkan sebagai tidak berakhlak) ..anak yg bagaimanakah yang kita dambakan???? Bak  kata Ustaz  Don masih belum terlambat lagi utk kita memperbetulkan apa yg silap dalam memasakkan akidah,  rasa  kasih dan cinta  pada Allah dan  Rasulullah SAW.... dengan berhijrah dalam memberikan pendidikan berlandaskan Al-Quran dan Sunnah kepada mereka.. Insya-ALLAH

Siti Fatimah Mukhtar: Di UK dan terus cemerlang

Salam,

Hangat diperkatakan seluruh negara, mahasiswa cemerlang Malaysia ke United Kingdom membuka aurat, hilang jati diri dan sebagainya. Pesan kami, jangan kita menjadi terlalu negatif, kerana kita semua manusia ada kelebihan dan kekurangan, dan ramai lagi watak cemerlang negara yang terus mengekalkan jati diri dan nama baik negara untuk kita semua teladani.

Ambillah yang jernih. Mari kita belajar daripada contoh-contoh kejayaan dan positif.

Anak Kelantan yang menduduk tempat pertama dalam SPM 2006, dengan 17 1A dan 1 2A, kini sedang membuat jurusan perubatan (Medicine) di University of Nottingham, United Kingdom. Beliau ialah Siti Fatimah Mukhtar.

Masih kekal dengan imej tudung labuh, masih kekal dengan jati diri sebagai seorang rakyat Malaysia dan sebagai seorang Muslim. Inilah watak yang seharusnya menjadi contoh kepada seluruh anak muda dan para pelajar di seluruh negara.

 Siti Fatimah bersama dengan keputusan peperiksaan SPM 2006 beliau. Cukup cemerlang sehingga dinobatkan sebagai pelajar terbaik seluruh negara dengan 17 1A dan  1 2A.


Fatimah sentiasa memberikan tunjuk ajar kepada adik-adik junior yang datang meminta nasihat

  
Fatimah (kiri sekali) bersama rakan-rakan kuliah perubatan di University of Nottingham, masih mengekalkan imej bertudung labuh walaupun berada di negara Barat.

Fatimah (dua dari kiri) menyemak bacaan Quran rakan beliau.

 
Masa lapang digunakan untuk mengajar dan sama-sama bertadarus al-Quran bersama teman-teman di sekitar Nottingham, UK.
Majlis sering dihadiri oleh para pelajar Malaysia, Brunei dan Indonesia yang bacaan mereka disemak oleh Fatimah yang sudah menghafaz lebih kurang 17 juzu' al-Quran

Sunday, January 1, 2012

PROFESIONAL MUKMIN: Program Ibu Bapa Cemerlang...Part 3

6 Syarat Rumahtangga Menjadi Ibadah...

Ia merupakan kupasan yang baru saja disyarahkan oleh Ustaz Pahrol Juoi dalam segmen Professional Mukmin Isnin lepas....

Saya perpanjangkan di sini buat ingatan diri saya yang lupa terutamanya dimasa2 hadapan...
Apakah 6 syarat tersebut?
1-Niat yang betul
2-Perkara yang kita lakukan itu sah di sisi syariat
3-Perlaksanaan ikut syariat
4- Dilakukan secara optimum
5-Tidak meninggalkan ibadah asas
6-Natijahnya baik

Apa saja yang kita lakukan sebenarnya adalah ibadah jika memenuhi syarat di atas...
Ramai kita hari ini menganggap ibadah/amal soleh hanyalah bila menunaikan solat, puasa, menunaikan haji,  zakat dan sebagainya... Kita hanya anggap Allah melihat kita hanya pada ketika ibadah asas (solat, puasa,  zakat, haji) sahaja tapi tidak ketika kita sedang melakukan tugasan di rumah, ditempat kerja, bersama rakan2 dan lain2 ....

Sedangkan jika kita totalkan Ibadah asas itu ianya hanya mencakupi lebih kurang 5% sahaja daripada jumlah keseluruhan kehidupan kita...
Mari kita sama2 lihat...
a) Solat...kita ambil solat fardhu sahaja ya..hanya lebih kurang 5-7 minit 1 solat paling lama 10 minit.. Sehari 50 minit (5 waktu solat).. setahun lebih kurang 13 hari kita solat.. jika hidup hingga 60 thn dan mula solat umur 10 thn..kita hanya solat 13 hari x 50 = 650 hari (1.8 tahun sahaja)

b) Puasa (kita ambil yang wajib sahaja)  cuma 30 hari setahun. Jika hidup hingga 60  tahun dan mula berpuasa pada umur 10 tahun.. ianya hanyalah 30 hari x 50 = 1500 hari  sahaja (50 bulan =4 tahun 2 bulan sahaja)

c) Zakat sekali setahun, jika pada umur 25 baru di wajibkan zakat dan hidup hingga 60 tahun.. Hanya 35 kali sahaja berpeluang melakukannya..

d) Haji.. Hanya sekali seumur hidup.......

Selebihnya... adalah segala amalan kita seharian bermula dgn mengamalkan doa, mengikut sunnah Rasulullah SAW, bekerja dan apa jua tugasan sebagai ibu, isteri, anak, suami, bapa dan lain2..mengikut 6 syarat ibadah yang dinyatakan di atas...

Malahan menurut  kupasan Ustaz Pahrol Juoi jika kita hanya menumpukan kepada zikir untuk diri atau dalam kumpulan faedahnya hanya dapat pada diri kita seorang berbanding mereka yang bekerja seperti pesawah... faedahnya menyebar hingga kepada sesiapa yang memakan hasil usaha pesawah tersebut (lebih banyak pahala yang didapati).. Jika seorang engineer merekabentuk dan membina empangan bagi kegunaan orang ramai... faedahnya juga menyebar kepada mereka yg mendapat manfaat air tersebut... Begitu juga jika membuat bangunan,  jalan dan sebagainya... Tapi kita lihat hari ini ada bangunan yang retak, jalan yang berlubang.. Alangkah ruginya orang2 yang berpeluang merebut pahala daripada tugasan/kerja harian mereka tetapi disia-siakan peluang tersebut malahan menyusahkan dan memudaratkan orang lain pula yang sudah pasti akan ditanya oleh Allah SWT di akhirat nanti...

Saya petik kata2 Ustaz Pahrol Juoi ketika tajuk ini berlangsung...

"Kita lebih banyak berfikir ranking  kita di sisi manusia (bos, kawan-kawan, keluarga dll walaupun mereka berada di jalan yang salah) dan bukan ranking kita di sisi Allah SWT.."

" Kita anggap Allah lihat kita hanya pada ketika ibadah asas dan ibadah sunat tetapi tidak di waktu belajar,  bekerja, melakukan tugasan rumah dll.."

Jika kita fikirkan tentang ilmuan2 dan ulama'-ulama'  dahulukala yang menghabiskan kehidupan mereka dengan menulis dan mencipta rekaan2 untuk kemasyalatan ummah... Ia adalah kerana hal ini..  Bandingkan dgn sikap umat Islam yang dikatakan lemah hari ini.. Mereka lebih byk dilalaikan dengan segala bentuk screen berbanding berusaha dan berfikir jauh ke hadapan bagaimana untuk melakukan yg terbaik utk kebaikan ummah.....Sesuatu yang patut kita fikirkan dan ubah dalam kehidupan kita dan anak2...

Wednesday, December 21, 2011

PROFESIONAL MUKMIN: Program Ibu Bapa Cemerlang...Part 2

VISI & MISI KELUARGA..

Apakah yang kita fahami tentang Visi? Visi = Future State Desired iaitu apa yang kita kehendaki di masa hadapan...

Apakah yg kita fahami sebagai Misi? Misi = Reason For Existence iaitu sebab wujudnya kita di dunia...

Dan berapa ramaikah daripada kita (para ibu-bapa) memahami akan visi dan misi kita sebagai ibu-bapa??

Kita mulakan dengan memahami MISI kita dengan memahami takah hidup insan... yg punya 5 peringkat..

PERINGKAT 1: Alam ROH - Dalam alam roh semua roh (tak kira yg Islam dan bukan Islam) memang rasa bertuhan...

PERINGKAT 2: Alam RAHIM (9 bulan 10 hari) - Di alam ini kita ditempatkan bersebelahan dgn tempat najis maka layakkah kita untuk menderhaka kpd Allah SWT...

PERINGKAT 3: Alam DUNIA - Merupakan Dewan peperiksaan bagi semua manusia yg tidak henti2 perlu menjawab soalan daripada Allah.. Kerja setiap kita hanya menjawab soalan daripada Allah SWT sepanjang kehidupan kitadi dunia ini..
1-Sebagai ibu bapa kita perlu menjawab soalan bagaimanakah kita dapat menjadi ibu-bapa yg baik..
2-Sebagai anak dan pelajar atau pekerja kita perlu  menjawab soalan bagaimanakah kita dapat menjadi anak yg soleh/solehah, pelajar yg terbaik dari segi akidah dan pencapaian, amanahkah kita sebagai pekerja...
3-Sebagai suami-isteri serta jiran tetangga... Sudahkah kita tunaikan segalanya secara yg paling baik?
4-Sebagai sahabat, daie dan sebagainya...

Dan Allah hanya mahu melihat SEBAIK-BAIK JAWAPAN DARIPADA KITA.....

PERINGKAT 4: Alam Barzakh -Ketika di alam ini orang yg baik akan memperolehi Taman-taman syurga manakala org yang jahat akan memperolehi lubang-lubang daripada neraka.. Dan harus kita fahami bahawa azab di kubur tidak sama dengan azab di Mahsyar yang juga berbeza daripada azab neraka... alam barzakh umpama seorang pesalah yg dimasukkan kedlm lokap --> alam mahsyar umpama Mahkamah dan ----> alam neraka umpama hukuman dan hukuman Allah jauh lebih azab daripada hukuman manusia..

Maka berbaloikah jika kita tidak mengetahui atau buat-buat tidak tahu  MISI  kita di atas dunia ini??

PERINGKAT 5: Alam Mahsyar -Alam yang hanya 2 PILIHAN - Syurga atau neraka...

Dalam banyak-banyak peringkat.. manakah peringkat yang paling penting buat kita??? Sudah pastilah PERINGKAT 3 tapi berapa ramai daripada kita tidak menyedarinya??

Kita tidak pernah menetapkan dan memahamkan Misi dan Visi kita sebagai ibu-bapa, suami-isteri juga buat anak2 kita....

Dalam hidup ini kita mungkin boleh menghafal visi dan misi yang ditetapkan ditempat kerja tapi tidak pernah memahami visi dan misi kita sebagai hamba Allah SWT..
Maka marilah kita sama memahami tentang hal ini... Kembali kita kepada VISI sebagai seorang Muslim berapa ramai daripada kita tahu kita harus punya visi jangka pendek (ketika di dunia) serta visi jangka panjang (di akhirat)???

Saya sendiri bila mendengar topik yg dihuraikan oleh Ustaz Nasib ini terkesima dan sgt2 bersyukur berpeluang utk menghayatinya...



VISI JANGKA PENDEK ketika di DUNIA:

* Untuk mencapai KESENANGAN hidup - Inilah yg ditumpukan oleh hampir kesemua kita...
a) Sahabat yg baik
b) Rumah yang besar dan selesa
c) Kereta yang hebat
d) Anak-anak yg taat dan tidak memberi masalah
e) Suami dan isteri yg kacak/cantik serta saling sayang-menyayangi
f) Jiran yg baik
g) Wang/Tanah/harta yang banyak
h) Kerja yg baik kerana itu bila ditanya pada pelajar2 Visi mereka terhenti setakat menjadi Doktor, jurutera dan sebagainya... dan pelbagai lagi..

* Namun ada satu lagi Visi jangka pendek  kita di dunia ini iaitu untuk mencapai KETENANGAN hidup.. kerana berapa ramai daripada kita mempunyai apa yg tersenarai di atas tetapi tidak TENANG dalam kehidupannya.... Inilah yg perlu kita fahamkan dalam diri, pasangan dan anak2

Manakala VISI JANGKA PANJANG ketika di akhirat yang sering kita lupa...Adalah dalam mencari/mendapatkan:-

a) REDHA ALLAH
b) SYURGA ALLAH (dalam Al-Quran sendiri hampir 2000 ayat mengisahkan tentang syurga sebagai satu berita gembira agar ia dijadikan Visi oleh semua manusia)...

Dan untuk Mencapai semua VISI ini haruslah ia diterjemahkan oleh MISI kerana jika tidak ia hanya akan menjadi sekadar mimpi... dan MIsi tersebut tidak lain adalah apa yang termaktub dalam Surah Az-Zariyat ayat 56 yang bermaksud..
"Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKU.."