Friday, February 22, 2013

Orang Yang Bersahabat Dengan Al-Quran Adalah Sahabat Malaikat..

Seperti yang saya janjikan sebagai sambungan kepada entry Faktor Luar Yang Mempengaruhi Hafalan Anak - Memilih  Kawan..

Orang yang bersahabat dengan Al-Quran itu juga adalah sahabat malaikat.. Subhanallah siapa tak mahu untuk bersahabat dengan malaikat yang mana jika dibaca dalam sirah merupakan sahabat kepada para Nabi, Rasul dan orang-orang soleh.. hinggakan dalam salah satu kuliah di surau tentang Isra' Mikraj, seorang ustaz pernah menyebut bahawa Rasulullah SAW ini dikurniakan 2 menteri di atas muka bumi iaitu  Abu Bakar r.a dan Umar r.a. serta 2 menteri di langit iaitu malaikat Jibril dan Mikail yang menjadi pengiring Baginda ketika peristiwa Isra' Mikraj.. Sesuatu yang jarang kita dengar ....

Satu-satunya cara untuk kita dekat dengan makhluk Allah SWT  yang sentiasa bertasbih kepadaNya adalah  dengan menjadi orang yang dekat dengan Al-Quran..

Dikatakan di dalam buku ini, ia adalah kemuliaan yang sangat besar bagi para pemikul (penghafal) Al-Quran Al-Karim serta bagi para pembacanya, kerana dia berada di lautan rahmat dan ketenangan, dan lebih mulia dari itu adalah Allah menyebut-nyebutnnya di hadapan para penduduk langit.

1. Dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam kitab Shahih daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya

Rasululullah SAW bersabda yang bermaksud:-

" Tidak berkumpul suatu kaum di satu rumah dari rumah-rumah Allah membaca Kitabullah (Al-Quran) dan mereka saling mempelajarinya di antara mereka, melainkan akan turun kepada mereka kedamaian, dan mereka akan diselimuti rahmat serta dikelilingi oleh para malaikat, dan Allah menyebut-nyebut mereka dihadapan para makhluk yang ada di sisiNya."

2. Diriwayatkan oleh Al-Barra r.a. beliau berkata,

 "Seseorang membaca surah Al-Kahfi dan disisinya ada seekor kuda yang terikat dengan dua tali, maka tiba-tiba dia diliputi awan, lalu awan itu mengelilinginya dan mendekat kepadanya, hingga hal itu membuat kudanya lari. Di pagi harinya, lelaki tersebut mendatangi Nabi SAW untuk menceritakan apa yang berlaku, lalu Nabi SAW bersabda yang bermaksud:"

"Itu adalah kedamaian yang turun disebabkan Al-Quran." (H.R. Muslim)

3. Di dalam kitab Shahih Muslim juga, diriwayatkan dari Abu Sa'id Al-Khudri bahawasanya ketika Usaid bin Hudhair sedang membaca Al-Quran pada malam hari di tempat penambatan kudanya, tiba-tiba kudanya melompat,  tetapi ia tetap meneruskan bacaannya, dan kemudian kejadian tersebut berulang lagi,  tetapi ia terus membaca, kemudian kuda itu melompat lagi, maka Usaid berkata, " Aku takut kalau kuda itu terpijak Yahya (anak Usaid), lantas aku pun menghampirinya, tetapi tiba-tiba aku mendapati seperti sebuah naungan berada di atas kepalaku,  dan di dalamnya ada seperti cahaya yang melambung ke udara hingga hilang dari penglihatanku. Oleh kerana itu pada pagi harinya, aku menemui Rasulullah SAW dan aku berkata

"Wahai Rasulullah, tatkala semalam aku sedang membaca Al-Quran di tempat penambatan kudaku, tiba-tiba kudaku melompat". Kemudian Rasulullah SAW bersabda,  " Bacalah wahai  Ibnu Hudhair",
Maka aku menjawab, "Iya, aku terus membaca, tetapi kemudian ia melompat lagi", kemudian Rasulullah SAW bersabda, "Bacalah wahai Ibnu Hudhair".


Ibnu Hudhair  berkata, lantas aku cuba untuk melihatnya, dan Yahya yang pada saat itu sangat dekat dengan kuda itu, aku takut kalau nantinya dia terpijak, kemudian aku melihat sebuah naungan berada di atas kepalaku, dan didalamnya ada seperti cahaya yang melambung ke udara hingga hilang dari penglihatanku, maka bersabda Rasulullah SAW,

"Itulah malaikat yang sedang mendengar bacaanmu, kalau seandainya kau terus membacanya maka nescaya manusia pun akan dapat melihatnya dan mereka tidak akan terhalang dengan apapun."

Monday, February 4, 2013

Alat Bantu Mengajar Buat Si Kecil

Sekadar berkongsi link FB www.facebook.com/AidilIslamicProducts yang saya temui baru-baru ini yang mempunyai pelbagai alat mainan sebagai bahan bantu dalam mendidik si kecil.. Saya berkenan dengan ipad Islamik, blok huruf-huruf hijaiyah bersekali dengan baris untuk saya jadikan bahan bantu mengajar adik Mawaddah dan CD animasi Solat buat abang Chik yang masih dalam usaha membetulkan solatnya agar lebih sempurna..


Antara Blok-Blok Kayu Islamic yang dijual - huruf2 hijaiyah, cara kedudukan dalam solat

Sungguh menarik Masha-ALLAH.. Semoga lebih ramai lagi Muslim dan Muslimat kita yang kreatif dalam menghasilkan sesuatu yang mampu  memberi manfaat buat umat Islam..

Sunday, February 3, 2013

Faktor Luar Yang Mempengaruhi Anak Dalam Menghafal Al-Quran

Alhamdulillah, akhirnya bertemu juga saya dengan salinan buku yang saya cari-cari iaitu buku 'Agar Anak Mudah Menghafal Al-Quran'.. Entry terakhir saya adalah  tentang 7 faktor luar yang mempengaruhi hafalan anak-anak.. Saya cuma berkesempatan menulis tentang faktor pertama seperti yang terdapat di dalam link di bawah
Faktor Yang Mempengaruhi Anak Dalam Menghafal Al-Quran

dan saya teruskan pada faktor-faktor berikutnya.. Sebelum ini saya kurang memahami kepentingan faktor-faktor ini tetapi semakin anak-anak meningkat remaja dan ditambah dengan pelbagai cabaran yang dihadapi dalam menghafal Al-Quran dan dalam menjaga hafalan itu sendiri Alhamdulillah saya sangat bersyukur kerana telah diberikan peluang oleh Allah SWT untuk membaca buku ini sebelum melalui cabaran-cabaran itu.. Saya kongsikan di sini buat  penambahan ilmu kepada pembaca-pembaca blog ini yang mempunyai niat dan tekad yang sama.. Semoga Allah memberikan kebaikan buat K. Ina dan keluarga yang merupakan sifu saya yang telah memperkenalkan saya kepada buku ini.. 

Faktor ke-2

Memilih Mushaf.. (seperti apa yang tertulis di dalam buku yang disusun di Indonesia yang saya olah agar sesuai untuk pemahaman di Malaysia)

Saudaraku tercinta, biasakanlah menghafal dengan satu jenis mushaf, seperti membiasakan dengan mushaf cetakan Mujamma' Malik Faishal, atau boleh juga mushaf Al-Haramain. Lihatlah mana yang sesuai dalam membacanya, dan mudah dijumpai di masjid-masjid dan banyak di pasar-pasar.

Hal ini tentu berbeza antara satu daerah dengan daerah yang lainnya, dan satu negara dengan negara lainnya. Contohnya di negara-negara Teluk Arab tersebar luas Mushaf Malik Fahd, atau di Mesir tersebar luas Mushaf al-Haramain Asy-Syarifain. Oleh kerana itu, janganlah engkau menghafal Al-Quran, kecuali dengan menggunakan mushaf dari satu percetakan saja. Sehingga memudahkan bagimu untuk mengingat dan mengetahui  tempat-tempat ayat dan letaknya dari setiap lembaran mushaf.

Hal itu kerana setiap cetakan mushaf itu akan tergambar dalam memori dan ingatan (tambahan saya: MIND MAPPING), sementara setiap mushaf itu berbeza-beza cetakannya, ada yang terdiri dari 12 baris setiap halaman, ada yang 15 baris, dan ada juga yang kurang atau lebih dari itu.

Faktor ke-3

Faktor yang saya rasakan sangat penting di akhir zaman ini..

Memilih Teman..

Pentingnya memilih teman.. Ini adalah perkara yang penting dalam meniti jalan untuk menghafalkan Al-Quran:-

a) Allah SWT memerintahkan kita untuk saling  tolong-menolong dalam kebaikan dan kebajikan. Firman Allah SWT yang bermaksud:

 " ..Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa,..."
  (Surah Al-Maaidah ayat 2)

Antara bentuk saling tolong-menolong yang paling agung ialah saling tolong  menolong dalam mempelajari Kitabullah Azza wa Jalla, kerana mempelajari Al-Quran bersama teman-teman dapat mengukuhkan hafalan.

b) Sesungguhnya Rasulullah SAW dan Jibril saling mempelajari Al-Quran, dan mereka saling memperdengarkan Al-Quran  antara satu sama lain, iaitu salah seorang dari mereka membaca dan yang lainnya mendengarkannya, sebagaimana yang disebutkan di dalam sahih Al-Bukhari (4997) diriwayatkan dari Masruq dari Aisyah  r.a. dari Fatimah r.a. berkata yang bermaksud,

" Bahwa Nabi S.A.W. telah menyampaikan kepadaku, "Bahwa sesungguhnya Jibril datang kepadaku menyemak Al-Quran sekali setiap tahun, namun ia datang kepadaku pada tahun ini sebanyak 2 kali, dan aku tidak melihat hal ini melainkan ajalku telah tiba."  

Ibnu Hajar berkata dalam menafsirkan ertinya pada zahirnya dapat dilihat bahawa masing-masing saling membacakan kepada yang lainnya. Oleh itu, pilihlah wahai saudara tercinta seorang teman yang pintar dan santun yang dapat membantumu untuk mentaati Allah. Engkau dan dia dapat saling berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, hingga engkau mampu menyelesaikan seluruh hafalan Al-Quranmu.

Allah berfirman dalam Surah Al-Mutaffifin ayat 26 yang bermaksud:

" Dan untuk yang demikian itu hendaknya orang berlumba-lumba,,"

dan didalam hadis disebutkan,
"Seseorang itu berada pada agama temannya, maka hendaklah setiap dari kamu melihat siapa temannya."

(Hadis Riwayat Abu Dawud dan At-Tirmizi)

Seorang penyair berkata,

Janganlah engkau tanya seseorang tentang dirinya,
Namun tanyakanlah siapa temannya
Kerana setiap orang mengikuti temannya.
Temanilah orang yang bertakwa
Maka engkau akan mendapatkan ketakwaannya
Dan janganlah engkau berteman dengan orang-orang yang derhaka sehingga engkau akan terbawa derhaka

c) Ibrahim An-Nakha'i Rahimahullah berkata, "Barang siapa yang senang untuk menghafal hadis, maka berbicaralah dengannya walaupun dia berbicara dengan orang yang tidak mahu mendengar hadis tersebut, kerana apabila dia melakukan hal tersebut, maka ia seperti halnya kitab yang ada di dalam dada."

d) Seorang ahli hikmah berkata,

Teman itu ada tiga:
Teman seperti gizi yang setiap saat selalu engkau perlukan
Teman seperti ubat yang kadang-kadang engkau perlukan
Teman seperti penyakit yang selamanya tidak engkau perlukan

Oleh itu waspadalah terhadap teman yang tidak baik dan sesiapa saja yang sama sekali tidak dapat memberikan manfaat padamu dalam urusan ugamamu, tidak pernah mengingatkanmu, dan juga tidak menasihatimu.

Seorang penyair berkata,

Dan janganlah engkau berteman dengan orang bodoh
Waspadalah terhadapmu  dan terhadapnya
Betapa banyak orang bodoh yang menjadikan seorang yang santun  berubah menjadi buruk..
Sesungguhnya seseorang dinilai dengan orang dekatnya 
Kerana seseorang berbuat sesuka hatinya
sesuatu dengan yang lainnya saling menyerupai dan sama
satu hati dengan hati yang lainnya menjadi bukti ketika bertemu."

Firman Allah SWT dalam surah Az-Zukhruf ayat 67 yang bermaksud :
"Teman-teman karib pada hari itu saling bermusuhan antara satu sama lain, kecuali mereka yang bertakwa."

Nanti saya akan sambung tentang Orang Yang Bersahabat Dengan Al-Quran Adalah Sahabat Malaikat.. Insya-ALLAH..    


Saturday, January 26, 2013

Sayangnya Rasulullah SAW pada kita umatnya...

Youtube ini dikongsikan oleh Along untuk kami sekeluarga dan ia sangat menyayatkan hati bila memikirkan betapa kasihnya Rasulullah SAW pada kita.. Bagaimana pula kecintaan kita pada Baginda.. Apakah kita telah mengikuti segala akhlak dan ajaran yang Baginda tinggalkan kepada kita sebagai jalan yang selamat untuk menuju syurga??? Jazakillah khair Along...

SALAM MAULIDURRASUL buat semua.. Selamat menonton youtube yang bertajuk

RASULULLAH MENANGIS DI PADANG MAHSYAR...


Tuesday, January 15, 2013

10 Penawar Segera Hati Part 5..

Setelah bertangguh-tangguh sekian lama akhirnya tiba juga kepada bahagian terakhir tajuk ini..

Saya sambung terus kepada Penawar yang ke 7 yang dinyatakan oleh Ustazah dalam kuliah tersebut

7 - Berpuasa pada hari yang panas.. Contohnya nak dekat musim raya Cina ni cuaca agak panas begitu juga ketika menunaikan umrah.. Berpuasalah kerana Allah.. Kalau hati kita keras dan sombong berdoalah agar Allah melembutkan hati kita.. Bila tiba masa untuk berbuka puasa nafsu ketika itu sudah letih. Itulah akhirnya menjadi penawar jiwa dan raga..

8 - Sedekah secara sembunyi :- Adakalanya kita dibebani masalah yang pelbagai, masalah anak-anak yang tidak berakhlak, tidak menunaikan solat dengan betul dan lain-lain lagi.. Ketika ini antara penawarnya ialah melepaskan hajat orang lain.. Insya-ALLAH Allah pasti akan melepaskan hajat kita untuk memperolehi anak yang soleh...

9 - Ringankan beban orang lain - Bila kita menderma pada orang yang susah jangan lihat orang tersebut memerlukan kita tetapi apa yang kita patut rasa ialah kita yang memerlukan mereka untuk melepaskan hak kita pada orang Muslim yang lain agar kita tak dicampakkan ke neraka.. Jangan rasa terbeban untuk menolong adik-beradik/ jiran tetangga atau  kawan-kawan........

10 - Berlaku zuhud terhadap sesuatu yang tidak kekal iaitu dengan tidak meletakkan dalam hati kenikmatan dunia.. Contohnya tidak mengutamakan rasa kasih dan cinta pada rumah yang besar, kereta-kereta mewah, harta-harta ....

Saturday, January 12, 2013

5 Bekalan Hidup Di Zaman Fitnah..


Antara maksud hadis tentang pemilihan kawan atau bijak memilih kawan adalah

" Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Seseorang itu menurut cara hidup kawannya. Maka hendaklah kamu memilih sesiapa yang hendak kamu jadikan kawan." (Riwayat Ahmad)

Saya mula merasainya bila anak-anak mula meningkat remaja.. Saya mencari-cari salinan buku yang saya pernah pinjam daripada K. Ina yang bertajuk 'Agar Anak Mudah Menghafal Al-Quran'.. Dulu saya pernah berkongsi di blog ini dan terhenti pada tajuk pengaruh kawan pada anak2 dalam menghafal Al-Quran.. Pada ketika itu saya merasa ianya tidak begitu penting, mungkin kerana anak2 masih kecil.. Tapi bila mereka meningkat remaja rupanya ianya merupakan isu yang sangat besar.. Dikatakan bahawa anak2 itu  akan teracu mengikut persekitarannya sekitar usia 11 - 15 tahun. Dari segi akhlak rakan-rakan juga akhlak guru yang mendidik selain dari akhlak ibu-bapa..  Jika saya bertemu dengan buku itu Insya-ALLAH akan saya kongsikan kelak..

Hari ini saya kongsikan satu artikel yang sangat bermakna dipetik daripada blog Pandangan Seorang Ustaz  :-

Kehidupan di zaman fitnah amat dahsyat apabila maksiat sukar dielakkan dan dosa wujud di mana-mana. Diriwayatkan oleh sahabat bernama Abu Tsalabah Al-Kushani RA bahawa Nabi Salallahualaihiwassalam bersabda : إِنَّ مِنْ وَرَائِكُمْ أَيَّامَ الصَّبْرِ الصَّبْرُ فِيهِ مِثْلُ قَبْضٍ عَلَى الْجَمْرِ لِلْعَامِلِ فِيهِمْ مِثْلُ أَجْرِ خَمْسِينَ رَجُلا يَعْمَلُونَ مِثْلَ عَمَلِهِ قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَجْرُ خَمْسِينَ مِنْهُمْ قَالَ أَجْرُ خَمْسِينَ مِنْكُمْ
Sesungguhnya selepas kamu akan datang hari-hari yang sabar (waktu sukar) apabila sabar diwaktu itu adalah seperti memegang arang api yang terbakar, beramal pada hari2 itu mendapat pahala seperti 50 orang lelaki yang melakukannya. sahabat bertanya, apakah 50 orang lelaki dikalangan mereka? Baginda menjawab, 'Pahala 50 orang dikalangan kamu (sahabat)'. [riwayat Abu Daud]

Fitnah akhir zaman menimpa akidah, ibadah, masyarakat dan akhlak umat Islam, anak-anak muda menjadi rosak, zina berleluasa, rumahtangga berantakan, ahli agama menyesatkan, pemerintah zalim dan menindas manakala umat Islam berpecah belah dan orang kafir mengambil kesempatan. Maka untuk keselamatan kita, ada 5 bekalan yang perlu diperolehi untuk menyelamatkan diri daripada fitnah !

1. Bekalan ilmu yang sahih dari al-Quran dan sunnah. Memiliki ilmu yang sahih menjadi kewajipan untuk kita selamat dizaman fitnah ini. Tanpa ilmu maka akan sesatlah kita daripada pertunjuk dan hidayah Allah. Nabi Salallahualaihiwassalam bersabda : مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ Barangsiapa yang Allah mengehendaki kebaikan baginya maka dia akan difaqihkan dalam urusan agama. [riwayat al-Bukhari]

2. Bekalan mendampingi guru dan ulama' yang mampu membimbing. Disaat manusia rosak dan masyarakat dalam keadaan jahil maka segeralah mencari guru atau pendakwah yang boleh membimbing atau menjadi pembimbing. Kata Imam Ibn Sirrin ra, إن هذا العلم دين فانظروا عمن تأخذونه Sesungguhnya ilmu ini sebahagian dari agama maka lihatlah dari siapa kamu mengambilnya. Hendaklah mencari guru yang diakui dan dipercayai berpegang teguh atas al-Quran dan as-sunnah.

3. Bekalan kawan-kawan yang soleh. Teman rapat dan sahabat yang bertaqwa ialah harta yang berharga dizaman fitnah. Amat sukar memelihara diri dari fitnah tanpa sahabat atau teman yang mampu menjadi penolong. Diriwayatkan Nabi SAW bersabda : المرء على دين خليله ، فلينظر أحدكم من يخالل Seseorang itu beragama mengikut kawannya maka lihatlah dengan siapa kamu berkawan. [riwayat Ahmad]

4. Bekalan isteri dan pasangan yang beragama. Seburuk-buruk fitnah yang menimpa seseorang ialah daripada pasangannya sendiri maka hendaklah berhati-hati memilih pasangan. Diriwayatkan dalam sebuah hadith yg panjang bahawa punca kebinasaan seseorang ialah kerana ahli keluarganya كان هلاك الرجل على يدي أبويه ، فإن لم يكن له أبوان فعلى يدي زوجته وولده ، فإن لم يكن له زوجة ولا ولد فعلى يدي قرابته . قالوا : وكيف ذاك يا رسول الله ؟ قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : يَعَيِّرونه بضيق المعيشة ، فيتكلف ما لا يطيق حتى يورده موارد Sesungguhnya kebinasaan seseorang berpunca daripada ibubapanya jika bukan dari ibubapanya maka berlaku kerana isterinya atau anak-anaknya dan jika bukan kerana isteri atau anak-anaknya maka ianya berpunca dari kaum kerabatnya. Para sahabat bertanya kenapa jadi begitu? Baginda menjawab, mereka akan mencelanya dan mendesaknya atas kesempitan hidupnya dan membebankan dia dengan apa yg dia tidak mampu sehingga dia terjebak dlm perkara yg membinasakannya. [riwayat Al-Baihaqi, hadith dhaif]

5. Bekalan pekerjaan dan harta yang halal, sebaik-baik hasil usaha ialah apa yang dikerjakan oleh tangan kita sendiri agar jauh dari riba dan sumber yang haram. Sabda Rasul SAW, مَا أَكَلَ أَحَدٌ طَعَامًا قَطُّ خَيْرًا مِنْ أَنْ يَأْكُلَ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ Tidaklah seseorang itu memakan sesuatu yang lebih baik melainkan apa yg diusahakan oleh tangannya sendiri. [riwayat al-Bukhari] Maka pada zaman fitnah ini carilah pekerjaan yang baik dan halal agar selamat dari tekanan dan penindasan dosa.



Friday, January 11, 2013

10 Penawar Segera Bagi Hati.. part 4

Dah lama saya tak update blog.. Pelbagai ujian melanda dan Alhamdulillah Allah datangkan sahabat-sahabat yang banyak membantu sebelum solat istikharah dilakukan...begitu juga nasihat Ustazah Norhafizah yang saya kongsikan di bawah. Setinggi-tinggi pujian buat Allah SWT.. dan jazakumullah khair buat sahabat dan guru saya Ustazah Nasirah al-hafizah juga guru along dikala ini Ustazah Muslihah al-hafizah yang Allah datangkan disaat hati ini berada dalam keadaan tidak keruan..

Alhamdulillah Allah permudahkan segala-galanya dan Allahlah yang lebih mengetahui apa yang terbaik yang ada dihadapan kita..

Dalam entry yang lalu saya berjanji untuk menceritakan perkongsian Ustazah Norhafizah yang suatu masa dulu pernah diuji dengan masalah hati yg tidak tenang... Kata Ustazah 'indahnya hidup dengan Al-Quran ni lebih indah dan asyik dari membaca novel'. Maka di ketika ustazah diuji itu, Ustazah pun solat hajat agar ditunjukkan jalan keluar.. Besoknya ketika di dalam kereta Ustazah pegang Al-Quran dan sebut

 "Ya Allah, Ya Tuhanku, aku pegang kalam Engkau dan kau tahu hati ku di ketika ini".. dan bila Ustazah buka Al-Quran, beliau terus terjumpa dengan Surah Thaha..dan membaca tadabbur ayat 2 -3 yang bermaksud

"Bukankah Aku dah turunkan Al-Quran sebagai peringatan buatmu tapi kamu yang lupa"

Masa tu kata Ustazah terus dia berkata 'Ya Allah, ampunkan aku..'.. Itulah senario yang berlaku hari ini.. Kita jauh dari Al-Quran dan tidak mencari  penyelesaian melalui taddabur Al-Quran..

Sambung ustazah, bila lihat anak-anak tahfiz, ia sangat memberi inspirasi.. Suatu ketika Ustazah ditanya oleh seorang anak tahfiz yang berusia 11 tahun.. Kata anak itu

"Ustazah, bagaimana saya nak menghafal Al-Quran dengan baik? Saya bangun Qiamullail sebab saya ni lambat nak hafal Al-Quran. Masuk kelas hafazan saja saya akan tidur. Saya niat nak pakaikan mahkota pada mak ayah.. Masha-ALLAH.."

Kita bandingkan dengan diri kita, dalam hidup kita berapa kerap kita bergelumang dengan Al-Quran. sedangkan anak-anak tahfiz ini hidup mereka sanggup berjauhan dengan ibu-bapa untuk bergelumang dengan Al-Quran (mendengar Al-Quran, baca Al-Quran, hafaz Al-Quran)..

Kemudian Ustazah membaca maksud surah Thaha ayat 130 -132 yang bermaksud:

"Maka sabarlah kamu atas apa yang mereka katakan, dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu,  sebelum terbit matahari dan sebelum terbenamnya dan bertasbihlah pada waktu-waktu di malam hari dan  pada waktu-waktu di siang hari supaya kamu merasa senang.

Dan janganlah kau tujukan kedua matamu kepada apa yang telah Kami berikan kepada golongan2 dari mereka, sebagai bunga kehidupan dunia untuk Kami cobai mereka dgnnya. Dan karunia Tuhanmuadalah lebih baik dan kekal.

Dan perintahkanlah ahli keluargamu untuk mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat yang baik itu bagi orang yang bertakwa"

Benarlah kata-kata bahawa jika kita ingin Allah berkata-kata dengan kita bacalah Al-Quran.. Itulah jawapan kepada segala rasa tidak tenang di hati Ustazah...

Jika dikumpulkan kaunselor-kaunselor seluruh dunia mereka takkan tahu psikologi manusia selain Allah..

Dalam 3 ayat di atas Allah memberikan 5 formula untuk kita lakukan bila diuji..

1- Sabar

2- Tasbih

3- Jaga pandangan mata kerana hati ini akan resah gelisah bila melihat nikmat yang Allah lebihkan pada orang lain sebagai ujian untuk orang tersebut.. Sedangkan Allah memberi sesuka hatiNya..

4- Perintahkan ahli keluarga untuk tunaikan solat.. Jelas ustazah kalau kita suami isteri beria-ia bersolat sedangkan anak-anak abaikan solat ,akan tenangkah kita?

5- Sabar dalam menunaikan solat dan dalam mengajak ahli keluarga menunaikan solat..

Semoga bertemu lagi di lain entry..